Monday, September 5, 2011

SEJARAH KONFRONTASI INDONESIA-MALAYSIA


1.0 PENDAHULUAN

Umum amat mengetahui bahawa Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang merupakan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama telah menyuarakan pandangan beliau untuk menubuhkan Gagasan Malaysia kerana sudah menjadi impian beliau untuk menubuhkan gagasan tersebut selepas mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. Sebenarnya, gagasan ini bukanlah suatu perkara yang baru kerana cadangan ini telah disuarakan sejak tahun 1894 lagi tetapi berbau koloni barat. Beliau berhasrat untuk menubuhkan gagasan tersebut adalah atas dasar niat yang baik iaitu untuk membebaskan wilayah-wilayah British di Borneo daripada belenggu penjajahan. Tunku memikirkan bahawa wilayah-wilayah Borneo tidak mampu untuk berdikari dan menjemput wilayah-wilayah tersebut untuk bersatu dalam Gagasan Melayu Raya atau Super Federation. Cadangan beliau itu telah dikemukakan kepada Malcolm MacDonald, bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu; Lord Home, Setiausaha Luar dan Lord Perth, Menteri Negara seperti berikut:
“Malaya today as a nation realizes that she cannot stand alone and in isolation. Sooner or later Malaya should have an understanding with Britain and the peoples of Singapore, North Borneo, Brunei and Sarawak. It is premature for me to say now how this closer understanding can be brought about, but it is inevitable that we should look ahead to this objective and think of plan whereby these territories are brought closer together in political and economis cooperation.”[1]
Walaupun cadangan Tunku itu telah diterima oleh British, namun Britis lebih gemar sekiranya Malaysia dan Singapura bergabung terlebih dahulu sebelum membentuk gagasan dengan Borneo kerana Singapura dianggap sebagai pulau yang boleh dijadikan pangkalan tentera bagi pertahanan British dan sekutunya di Asia Tenggara. Tunku menolak cadangan tersebut atas alasan masalah perkauman dan politik. Beliau hanya bersetuju dengan penggabungan Singapura sekiranya wilayah di Borneo turut disertakan dalam pencantuman Tanah Melayu dan Singapura itu.
Akhirnya, pada 27 Mei 1961 Tunku Abdul Rahman secara rasmi telah mengemukakan cadangan beliau terhadap penubuhan Gagasan Malaysia. British sekali lagi menyatakan pendirian mereka untuk bersetuju dangan gagasan tersebut tetapi menyarankan agar Tanah Melayu melakukan penggabungan dengan singapura terlebih dahulu sebelum bersatu dengan Borneo memandangkan Borneo masih lagi mundur. Gagasan ini melalui proses yang sukar kerana mendapat pelbagai reaksi dari dalam dan luar Tanah Melayu samada reaksi positif mahupun negatif. Gagasan Tanah Melayu yang dicadangkan untuk ditubuhkan pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditunda pada 16 September 1963 memandangkan terdapat pelbagai masalah yang dihadapi. Sememangnya, salah satu reaksi negara jiran terhadap penubuhan Gagasan Malaysia ialah konfrontasi.
2.0 PENGENALAN
Konfrontasi merupakan serangan terhadap Malaysia daripada negara jiran dalam usaha Tanah Melayu ingin membentuk Gagasan Malaysia. Secara literalnya, konfrontasi dapatlah didefinisikan sebagai saling berhadapan antara dua orang dan lain-lain yang bertentangan dan bersemuka. Selain itu, konfrontasi juga dapat ditakrifkan sebagai bertentangan secara langsung (yang boleh mencetuskan pergaduhan, peperangan dan sebagainya): masing-masing terhadap yang lain[2]. Secara konseptualnya, konfrontasi bermaksud reaksi negatif Indonesia memprotes penubuhan Gagasan Malaysia dan dizahirkan melalui tindakan menyekat dan memutuskan hubungan dengan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia yang dibentuk.
Secara umumnya, reaksi menentang gagasan Malaysia yang dilakukan oleh Indonesia melalui dua tahap utama. Tahap pertama berlaku sebelum sebelum meletusnya pemberontakan di Brunei iaitu dari tahun 27 Mei 1961 hingga 7 Disember 1962. Manakala tahap kedua pula telah berlaku selepas pemberontakan di Brunei iaitu sejak 9 Disember 1962 sehingga 16 September 1963.
Pada awalnya, selepas Tunku Abdul Rahman mengumumkan hasrat beliau menubuhkan Gagasan Malaysia, Indonesia tidak menzahirkan rasa tidak senang mahupun tentangan terhadap penubuhan tersebut. Indonesia tidak memberikan jawapan yang jelas terhadap penubuhan gagasan tersebut. Menurut Dr Subandrio yang merupakan Menteri Luar Indonesia, persoalan Gagasan Malaysia adalah persoalan penduduk wilayah-wilayah yang terlibat. Jadi, penubuhan tersebut terletak kepada rakyat dalam wilayah-wilayah tersebut untuk menentukannya. Tidak cukup dengan itu, Dr Subandrio menguatkan lagi pendiriannya dengan memberikan jaminan bahawa Indonesia tidak berhasrat untuk menuntut sebarang wilayah British yang terdapat di Borneo. Jaminan tersebut telah diulang sekali lagi pada 20 November 1961 di Majlis Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Beliau menyatakan pendirian tersebut dalam ucapannya yang berbunyi:
… when told us of her intention to merge with the three British Crown Colonies of Sarawak, Brunei and North Borneo as one federation, we told them that we have no objection and that we wished them success with merger so that everyone may live in peace and freedom…[3]
Selain itu, terdapat juga reaksi positif yang diterima di Singapura apabila Lee Kuan Yew bersetuju untuk menyertai Malaysia dengan mengambil langkah pertama iaitu membuat pungutan suara rakyatnya. Begitu juga di Brunei, Sultan Brunei memberi sokongan terhadap gagasan tersebut tetapi tidak menjelaskan pendirian baginda untuk menyertai gagasan tersebut. Walau bagaimana pun, kedua-dua kawasan ini turut mempunyai barisan kontra yang menolak Gagasan Malaysia. Sememangnya, terdapat pelbagai sebab yang membawa reaksi konfrontasi negara jiran terhadap penubuhan Gagasan Malaysia.
3.0 SEBAB-SEBAB PENENTANGAN
3.1 CADANGAN TUNKU ABDUL RAHMAN MEMBENTUK MALAYSIA
Selepas Tunku Abdul Rahman mengumumkan hasrat beliau bersama British ingin menubuhkan Persekutuan Malaysia, pelbagai reaksi telah diterima daripada negara jiran. Cadangan ini telah dibuat pada 17 Mei 1961 semasa majlis jamuan makan yang telah dianjurkan oleh Foreign Correspondents Association of South-East Asia di Adelphi Hotel, Singapura. Bagi Tunku Abdul Rahman, penubuhan Gagasan Malaysia ini adalah bertujuan untuk mengimbangi sumber ekonomi Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara, Brunei dan Singapura selain mengeratkan politik antara wilayah-wilayah tersebut.
Sejak pengumuman tersebut, hubungan antara Tanah Melayu dan Indonesia sudah kelihatan suram dan semakin renggang. Walaupun pada awalnya Indonesia memberikan reaksi seakan-akan menyokong Gagasan Malaysia yang disuarakan oleh Tunku Abdul Rahman, namun sebenarnya reaksi itu adalah palsu semata-mata. Indonesia sejak awal lagi menentang Gagasan Malaysia namun tidak dapat dizahirkan kerana pada ketika itu, Indonesia berada dalam krisis pertikaian hak tuntutan Irian Barat. Isu Irian barat telah menghalang Indonesia untuk membantah Penubuhan tersebut kerana tuntutan Irian Barat melibatkan kuasa British dan Amerika Syarikat. Indonesia bimbang sekiranya reaksi negatif dizahirkan terhadap penubuhan gagasan tersebut akan mempengaruhi keputusan tentang status Irian Barat.
Akan tetapi, atas dasar pengumuman Gagasan Malaysia inilah yang telah membawa kepada penyebab berlakunya reaksi konfrontasi terhadap Tanah Melayu dan Malaysia. Gagasan ini dilihat mengancam kedudukan Indonesia memandangkan Tanah Melayu pada ketika itu di bawah pemerintahan British.
3.2 INDONESIA RAYA DAN PENDIRIAN SUKARNO
Penentangan terhadap Gagasan Malaysia juga dikaitkan dengan pendirian Sukarno dan hasratnya yang tersendiri. Beliau sebenarnya mempunyai hasrat yang hamper sama dengan hasrat Tunku Abdul Rahman ynag ingin menggabungkan wilayah sekitarnya menjadi sebuah negara yang bersatu. Indonesia pada awalnya ingin mengemukakan cadangan untuk menyatukan Indonesia dan wilayah sekitarnya yang meliputi Tanah Melayu, Borneo, dan Filipina bagi membentuk satu kesatuan iaitu Indonesia Raya berdasarkan warisan kerajaan Majapahit. Namun, cadangan itu terpaksa ditangguh berikutan isu Irian Barat belum dapat diselesaikan. Hasrat Sukarno untuk membentuk Indonesia Raya ternyata terlambat setelah mendapati Tunku Abdul Rahman terlebih dahulu menyuarakan hasratnya untuk menubuhkan Malaysia. Keadaan ini dilihat sebagai menutup impian Sukarno itu. Ekoran daripada itu, Sukarno dan Indonesia telah melaksanakan dasar hubungan dingin terhadap penubuhan Gagasan Malaysia.
Sukarno berpendapat bahawa gagasan itu sepatutnya diumumkan oleh beliau dan bukannya disuarakan oleh Tunku Abdul Rahman. Lantaran itu, Sukarno telah melakar pendirian agresif menentang Tanah Melayu untuk menghentikan gagasan tersebut daripada menjadi kenyataan. Namun demikian, pendirian sukarno ini pada awalnya terhad kepada sindiran dan ungkapan dingin terhadap Tanah Melayu memandangkan pada ketika itu tuntutan terhadap Irian Barat belum selesai. Beliau bimbang jika reaksi negatif itu dizahirkan ia akan mempengaruhi keputusan tuntutan Irian Barat tersebut. Tunku Abdul Rahman dapat menghidu reaksi tidak menyokong daripada pihak Sukarno dan merasakan bahawa Sukarno dan menteri luarnya mempunyai dendam terhadap Tunku Abdul Rahman. Sukarno pernah sekali menyuarakan pandangan sinis beliau terhadap Tunku seperti berikut:
“If Tunku can do it we have no objection.”[4]
Melalui kenyataan ini jelas kelihatan bahawa Sukarno mempunyai reaksi yang kurang senang terhadap penubuhan Malaysia. Namun, memandang secara rasional terhadap isu ini menyebabkan beliau terpaksa menerima gagasan tersebut dengan syarat Tunku mampu untuk merealisasikan matlamat tersebut.
Selain itu, Sukarno telah menyuarakan pendirian beliau terhadap pembentukan Gagasan Malaysia dengan menyatakan bahawa usaha dan perjuangan Indonesia menentang penjajahan dan imperialism Barat belum tamat walaupun isu Irian Barat berjaya diselesaikan. Atas dasar ini, Sukarno mengatakan bahawa pembentukan Malaysia adalah merupakan dasar perluasan Imperialisme Barat dan Nekolonialisme. Sukarno juga mendakwa bahawa penubuhan Malaysia merupakan satu bentuk penjajahan baharu dan memastikan pengusaaan british ke atsas perusahaan getah, bijih timah dan minyak. Hal ini kerana Tanah Melayu sememangnya terkenal dengan lombong bijih timah seperti di Larut, Perak dan hasil minyak yang kaya di Brunei. Tambahan pula, Indonesia pada ketika itu masih dikelilingi dengan negara Imperialisme dan Old Established Force.
Ekoran daripada pendirian tersebut, Sukarno telah mengarahkan tenteranya agar bersiap sedia menyerang Tanah Melayu dan wilayah dalam Gagasan Malaysia selepas memenangi pertikaian isu Irian Barat. Jadi, sikap dan pendirian Sukarno ini jelas menunjukkan bahawa ia merupakan salah satu sebab utama yang menyebabkan reaksi konfrontasi terhadap pembentukan Gagasan Malaysia.
3.3 SIKAP DAN PENDIRIAN PARTI KOMUNIS INDONESIA (PKI)
Dalam usaha Tunku Abdul Rahman ingin mendirikan Gagasan Malaysia, beliau telah memohon sokongan rasmi daripada Indonesia terhadap penubuhan gagasan tersebut. Permohonan tersebut telah dibuat semasa sambutan hari kemerdekaan Tanah Melayu yang ke-4 pada 31 Ogos 1961. Malangnya, pada masa yang sama, Parti Komunis Indonesia(PKI) telah mengkritik penubuhan Malaysia. PKI secara lantang menyuarakan bahawa penubuhan Gagasan Malaysia merupakan satu dasar neokolonisme Barat yang ingin menguasai Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara, Singapura dan Brunei. PKI merupakan parti politik pertama Indonesia yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap gagasan tersebut. Kritikan ini telah dizahirkan melalui akhbar parti tersebut iaitu Harian Rakyat. Namun demikian, Indonesia tidak lagi mengeluarkan bantahan rasmi berikutan protes PKI itu.
Sebenarnya, PKI dianggap sebagai penghalang kepada usaha murni penggabungan wilayah serantau yang ingin membentuk Malaysia[5]. Sikap permusuhan Indonesia yang dilihat agresif adalah atas hasutan dan desakan parti ini kepada kerajaan Indonesia. Serangan yang bertubi-tubi dalam menzahirkan reaksi negatif adalah peranan PKI semata-mata. PKI pada dasarnya bimbang akan pengaruh British yang diserap dalam Singapura dan Borneo akan meluputkan perkembangan ideologi komunis di kedua-dua kawasan tersebut. Justeru, pada 30 dan 31 Disember 1961, Perhimpunan Jawatankuasa Pusat PKI kali ketiga telah diadakan di Jakarta. Dalam perhimpunan tersebut, jawatankuasa ini telah meluluskan resolusi untuk menentang penubuhan Malaysia. Resolusi ini telah mengemukakan dua sebab utama PKI menentang Gagasan Malaysia.
Salah satu sebab penentangan gagasan Malaysia yang telah disuarakan oleh PKI berdasarkan resolusi ini ialah PKI berpendapat bahawa cadangan Malaysia merupakan satu tipu helah yang dilakar oleh penjajah British untuk menjamin kepentingan kompeni tersebut di tanah Asia Tenggara. Sebab kedua ialah PKI menuduh bahawa Britain tidak dapat meneruskan penjajahan bentuk lama di kawasan Kalimantan Utara kerana penduduk di kawasan tersebut menunjukkan reaksi untuk menuntut kemerdekaan. Tidak cukup dengan itu, PKI turut menambah bahawa Malaysia adalah satu bentuk neokolonialisme untuk mengawal tuntutan kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara. Selepas resolusi itu diluluskan, maka PKI memainkan peranannya dengan menghasut kerajaan Indonesia agar memerangi habis-habisan penubuhan Gagasan Malaysia sekitar tahun 1961. Namun, Indonesia tidak mengeluarkan sebarang tindakan terhadap Tunku kerana terhalang oleh isu Irian Barat.
3.4 BANTAHAN PARTI POLITIK INDONESIA DAN PEMIMPIN INDONESIA
Selain daripada Parti Komunis Indonesia yang menyatakan bantahan secara terbuka terhadap penubuhan Malaysia, terdapat juga beberapa parti politik tempatan yang menyuarakan pendapat yang sama. Namun demikian, bantahan yang diberikan tidak terlalu agresif dan menonjol. Bantahan tersebut hanya disalurkan melalui kenyataan akhbar seperti yang dilakukan oleh pihak PKI. Bantahan ini dilakukan menjelang akhir tahun 1961. Salah satu parti yang menonjol dalam bantahannya terhadap cadangan penubuhan Gagasan Malaysia ialah Parti Indonesia (Partindo). Partindo merupakan sebuah parti politik Indonesia yang telah ditubuhkan pada tahun 1932. Parti ini disertai oleh Presiden Sukarno dan mempunyai lebih seribu orang ahli pada awal penubuhannya.
Seperti pendirian Sukarno dan kenyataan PKI, Partindo juga menpunyai pendapat yang serupa terhadap penubuhan Gagasan Malaysia. Partindo beranggapan bahawa Gagasan Malaysia merupakan sebuah neokolonialisme British terhadap negara-negara di Asia Tenggara. Melalui akhbar rasmi parti ini iaitu Bintang Timor menyatakan bahawa dasar imperialism British telah mencetuskan Mighty Malaysia dan mempergunakan Tunku Abdul Rahman bagi menutup neokolonialisme yang dibawa oleh penjajah tersebut. Partindo juga menuduh Gagasan Malaysia sebagai usaha-usaha yang dilakukan oleh British untuk menguatkan lagi kedudukan tentera British di Asia Tenggara selain ingin menguasai kepentingan ekonomi dan sumber alam yang terdapat di Brunei, Sarawak dan Sabah melalui saluran neokolonialisme tersebut.
Tidak cukup dengan reaksi Partindo terhadap Gagasan Malaysia, terdapat juga reaksi yang menentang gagasan tersebut daripada Parti Nasional Indonesia. Parti Nasional Indonesia(PNI) merupakan parti politik yang tertua di Indonesia. Parti ini telah ditubuhkan pada 4 Julai 1927 oleh sekumpulan pelajar yang terlibat dalam Kelab Pembelajaran Algemeene di Bandung Indonesia. Parti ini pada awalnya telah diketuai oleh Sukarno. Pada tahun 1962, Ali Sastromidjojo yang merupakan bekas Perdana Menteri Indonesia dan juga Pengerusi PNI telah mengisytiharkan bahawa Indonesia tidak sesekali akan menjadi boneka terhadap penubuhan Malaysia. Sebaliknya, Indonesia harus menentukan sama ada penubuhan gagasan tersebut menguntungkan atau merugikan Indonesia. Ali juga menimbulkan isu persempadanan dalam kenyataan beliau sekaligus tidak bersetuju dengan pendirian Dr Subandrio yang mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk menuntut wilayah di luar bekas tanah jajahan Belanda di Borneo. Ali menyifatkan kenyataan Dr Subandrio adalah satu kesilapan yan bodoh.[6]
Sebagai jawapan balas Tunku Abdul Rahman, beliau telah member jawapan bahawa beliau gagal untuk member kefahaman terhadap Indonesia tentang kelbihan dan kelemahan penubuhan Gagasan Malaysia. Namun, beliau menegaskan bahawa Tanah Melayu tidak mempunyai niat untuk mencetuskan pergaduhan dengan Indonesia sebaliknya meminta agar Indonesia dan negara lain mengikuti perkembangan gagasan tersebut dengan aman. Beliau juga menegaskan kepada Indonesia agar tidak campur tangan dalam urusan Tanah Melayu. Tunku terpaksa bersikap tegas terhadap kenyataan Ali tersebut kerana PNI empunyai kaitan dengan Sukarno. Tunku bimbang sekiranya Ali akan menghasut Sukarno dengan kata-kata itu yang boleh dijadikan dasar Indonesia.
Dalam pada itu, walaupun Indonesia tidak menyuarakan pendirian negatifnya terhadap penubuhan Malaysia secara terang-terangan, pemimpin-pemimpin Indonesia sebenarnya sudah lantang menyatakan pendirian kontra mereka terhadap penubuhan tersebut. Selain Sukarno, Dr Subandrio secara diam-diam mengecam pembentukan Malaysia bersama Prof. Mohd Yamin. Bagi mereka, Malaysia adalah pesaing yang menutup impian mereka untuk menubuhkan Indonesia Raya.
3.5 KEBIMBANGAN PANGKALAN SEATO DAN PANGKALAN TENTERA
Dalam usaha merealisasikan penubuhan Gagasan Malaysia, Tunku Abdul Rahman dan Harold McMicheal yang merupakan Perdana Menteri British telah meluaskan perjanjian Pertahanan Tanah Melayu-British (Anglo-Malayan Defence Agreement, AMDA) kepada Perjanjian Pertahanan Malaysia-British pada 23 November 1961. Melalui perluasan perjanjian tersebut, secara tidak langsung telah mebabitkan Tanah Melayu dalam SEATO (Southeast Asia Treaty Organisation). British telah mengemukakan cadangan untuk menjadikan Singapura sebagai pangkalan SEATO degan kebenaran Malaysia. Cadangan itu telah dikemukakan melalui kenyataan bersama dalam perluasan pejanjian AMDA.
Sebenarnya, penubuhan SEATO mendapat tentangan hebat daripada Indonesia dan Indonesia amat tidak bersetuju dengan pertubuhan ini. Bagi Indonesia, SEATO dan pangkalan yang ingin didirikan di Singapura merupakan satu bentuk ancaman terhadap keselamatan dan kedudukan negara sekitarnya kerana Amerika Syarikat merupakan sebuah negara veto. Namun demikian, sekali lagi Indonesia terpaksa membisukan diri ekoran isu Irian Barat yang belum berkesudahan. Indonesia juga harus berhati-hati dengan hal ini kerana Amerika Syarikat yang menjadi kuasa besar dalam SEATO merupakan negara yang boleh mempengaruhi keputusan isu Irian Barat.
Tidak cukup dengan kebimbangan tersebut, Indonesia juga menyatakan bahawa penubuhan pangkalan tentera di Borneo sebagai salah satu sebab yang mendorong mereka untuk melancarkan reaksi konfrontasi terhadap penubuhan Gagasan Malaysia. Dr Subandrio menyatakan pendirian walaupun Tanah Melayu dan Indonesia dipisahkan oleh kawasan laut yang mengurangkan dasar campur tangan terhadap aktiviti di Tanah Melayu, namun setelah wujudnya Gagasan Malaysia yang dicadangkan sudah pasti akan melibatkan persempadanan darat di kawasan Borneo. Dalam keadaan tersebut, sebarang tindakan Malaysia di kawasan tersebut secara tidak langsung menjadi perhatian serius Indonesia. Subandrio menegaskan bahawa:
“How can we remain indifferent to this? If everything goes on smoothly, then we shall not be concerned-it is their business. But if the things go wrong, then we must take notice to protect our interests”[7]
Dr Subandrio mengingatkan bahawa negara Indonesia akan memberi tindak balas terhadap tindakan Tanah Melayu dan Malaysia yang dianggap salah dan mengancam Indonesia. Sehubungan itu, Indonesia mengingatkan agar pihak British tidak sesekali membina pangkalan tentera di kawasan Sabah, Sarawak dan Brunei selepas penubuhan Malaysia. Indonesia mengancan akan membawa masuk Soviet Union untuk membuka pangkalan tentera di kawasan Indonesia di Borneo sekiranya terdapat pangkalan tentera British di Borneo. Ekoran daripada ura-ura itu, Sukarno dan Subandrio menyifatkan Tunku Abdul rahman sebagai mengamalkan sikap bermusuhan dengan Indonesia. Kenyataan Dr Subandrio berkaitan tentera British itu telah disanggah oleh Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura tidak perlu risau tentang soal pangkalan tentera di Borneo Utara kerana tidak ada sesiapapun yang akan mendirikan pangkalan tersebut ekoran kemunduran sistem komunikasi di kawasan tersebut.
3.6 DESAKAN PERJUANGAN AM AZAHARI DAN PEMBERONTAKAN BRUNEI
Perkembangan politik yang berlaku di negara lain selain Indonesia juga mempengaruhi reaksi konfrontasi Indonesia terhadap penubuhan Gagasan Malaysia. Di Brunei umpamanya terdapat gerakan politik yang menentang Gagasan Malaysia iaitu Parti Rakyat Brunei (PRB). PRB merupakan sebuah parti yang berhaluan kiri yang mempunyai kuasa politik yang berpengaruh di Brunei. Parti ini dipimpin oleh AM Azahari. Perjuangan AM Azahari ini telah menggesa Sultan Brunei agar menamatkan hasrat baginda untuk menyertai Malaysia. Selain itu, AM Azahari juga menyimpan niat untuk menubuhkan taraf berkerajaan sendiri bagi Brunei. Beliau juga berpendapat bahawa Gagasan Malaysia mengekang hasrat beliau dalam memperjuangkan kemerdekaan dan taraf berkerajaan sendiri.
AM Azahari telah mengadakan hubungan sulit dengan kerajaan Indonesia untuk mencapai hasrat menentang Gagasan Malaysia. AM Azahari telah mengadakan lawatan ke Indonesia bagi meminta bantuan daripada kerajaan Indonesia dalam melaksanakan perjuangan beliau. Indonesia telah member bantuan berbentuk kewangan dan kebendaan selain mendirikan pangkalan tentera di Malinau, Kalimantan, Indonesia. Pangkalan tentera ini dibina untuk melatih tentera gerila yang dikenali sebagai Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU). Selain itu, AM Azahari juga membuat kerjasama dengan Filipina pada Jun 1962 berikutan tuntutan Filipina terhadap Sabah tetapi telah ditolak oleh Filipina. Namun, pengaruh AM Azahari telah berkembang sehingga ke Singapura dan Tanah Melayu apabila kumpulan anti-Malaysia memberi sokongan kepada PRB seperti Barisan Sosialis dan Parti Rakyat Malaya.
Lanjutan daripada desakan perjuangan AM Azahari ini telah membawa kepada pemberontakan yang berlaku di Brunei. Pemberontakan ini diketuai oleh AM Azahari yang sememangnya menentang keras penubuhan Gagasan Malaysia. AM Azahari mempunyai hasrat untuk menubuhkan persekutuan wilayah-wilayah Borneo tetapi telah ditolak oleh Sultan Brunei. Sultan Brunei memberikan alsan bahawa Brunei membpunyai kesukaran menuntut wilayah Sabah dan Sarawak memandangkan kawasan tersebut berada di bawah jajahan British dan pada masa itu British dalam usaha ingin menggabungkan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Gagasan Malaysia. Selain itu, baginda juga memberitahu sekiranya persekutuan Borneo terlaksana, golongan Melayu Brunei akan menjadi golongan minoriti berbanding bumiputera bukan Melayu di Sabah dan Sarawak.
Ternyata hasrat AM Azahari berkecai apabila sultan Brunei menangguhkan persidangan Majlis Perundangan Brunei yang sepatutnya diadakan pada 5 Disember 1962 kerana baginda mempunyai minat untuk menyertai Malaysia.[8] Sebagai tindak balas, AM Azahari telah menghantar telegram kepada Tunku Abdul Rahman untuk menyatakan pendiriannya menentang penubuhan gagasan Malaysia secara keras. Tidak cukup dengan itu, AM Azahari juga telah melancarkan pemberontakan pada 7 Disember 1962 bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada keputusan Sultan Brunei menangguhkan persidangan Majlis Perundangan Brunei.
Pemberontakan di Brunei ini telah dirancang oleh AM Azahari dan Jawatankuasa Pusat PRB denagn harapan Sultan Brunei memberikan kerjasama kepada PRB bagi merealisasikan hasrat mereka untuk menubuhkan Persekutuan Borneo. Dalam pemberontakan tersebut, AM Azahari telah mengarahkan TNKU untuk menyerang kawasan penggalian petroleum di daerah Seria dan Kuala Belait. Semasa pemberontakan itu berlaku, AM Azahari berada di manila, Filipina dan di sana belaiu telah mengisytiharkan kemerdekaan penyatuan Brunei, Sabah dan Sarawak dengan membentuk sebuah kesatuan. Kesatuan tersebut dikenali sebagai Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) dengan mengatakan bahawa Sultan Brunei sebagai ketua negara dan beliau sebagai Perdana Menteri NKKU.
Pengisytiharan tersebut telah sampai kepada pengetahuan Sultan Brunei. Baginda mengambil tindakan terus mengharamkan PRB dan mengumumkan darurat. Selain itu, baginda juga telah meminta bantuan daripada British di Singapura untuk mematahkan pemberontakan tersebut. Ekoran daripada bantuan Indonesia yang berbentuk bekalan senjata dan makanan tidak sampai kepada tentera TNKU yang terlibat dalam pemberontakan tersebut, gerakan ini berjaya dipatahkan oleh British dengan mudah. Daripada pemberontakan yang berlaku di Brunei ini, Indonesia telah menjadikannya sebagai asas kukuh yang membuktikan bahawa Gagasan Malaysia tidak diterima oleh rakyat di Borneo. Oleh itu, sejak berlakunya pemberontakan di Brunei Indonesia telah mengubah pendiriannya daripada bersikap sederhana kepada agresif terhadap penentangan Gagasan Malaysia. Tambahan pula, isu Irian Barat telah berjaya diselesaikan dan dimiliki oleh Indonesia pada bulan Ogos 1962.
3.7 PENGARUH ORANG CINA
Tidak cukup dengan alasan-alasan tersebut, Indonesia juga turut memberikan kenyataan bahawa penentangan terhadap gagasan Malaysia dilaksanakan adalah disebabkan oleh pengaruh orang Cina. Indonesia menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perluasan pengaruh Cina di Tanah Melayu dan Asia Tenggara akan berlaku sekiranya Malaysia ditubuhkan. Indonesia juga menegaskan bahawa sekiranya Malaysia terus dilaksanakan nescaya suatu hari nanti kaum Cina akan menguasai politik Tanah Melayu seterusnya Malaysia.
Kenyataan Indonesia ini diperkukuhkan lagi dengan menyatakan bahawa sekiranya Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu dan Singapura dilaksanakan, komposisi Melayu akan hanya 39 peratus berbanding kaum Cina yang memonopoli 42 peratus yang lain. Bekas Naib Presiden Indonesia pada ketika itu, Mohd. Hatta berpendapat:
“The creation of a Malaysia is nothing but the creation of a second China using mask of Malay, a new colony dominated by Chinesse Capitalist, oppressing the Malay Nation.”[9]
Namun demikian, kebimbangan ini dijawab oleh Tunku Abdul Rahman dengan mengeluarkan kenyataan beliau bahawa Malaysia yang ditubuhkan akan menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Jadi masalah komposisi kaum akan dapat diatasi dengan kehadiran bumiputera Sabah dan Sarawak.
4.0 REAKSI BRUNEI
Penentangan terhadap Gagasan Malaysia turut berlaku di Brunei. Penentangan terhadap gagasan ini dilakukan oleh golongan berhaluan kiri yang merupakan parti terbesar di Brunei iaitu Parti Rakyat Brunei. Parti ini dipimpin oleh AM Azahari. Pada awalnya, Azahari ingin menubuhkan sebuah kerajaan kesatuan yang menghimpunkan Brunei, Sabah dan Sarawak. Namun demikian, usaha beliau itu dilihat terbantut setelah Tunku Abdul Rahman mengumumkan hasrat beliau untuk menubuhkan Malaysia yang turut melibatkan tiga wilayah tersebut.
Pelbagai tindakan telah dilakukan oleh parti ini. Salah satu tindakan sebagai reaksi penentangan terhadap Malaysia ialah meminta PBB menghalang penubuhan Malaysia tetapi tidak mendapat sebarang respon daripada PBB. Setelah gagal dalam usaha tersebut, Brunei kemudiannya mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mendesak British menyerahkan Sabah dan Sarawak kepada Sultan Brunei namun tidak diendahkan. Sultan pula berpendapat bahawa penyerahan Sabah dan Sarawak itu adalah amat sukar. Tambahan pula, kemasukan sabah dan Sarawak dalam kesatuan yang diimpikan oleh AM Azahari itu akan menyebabkan rakyat Brunei menjadi golongan minoriti.
Akhirnya, untuk menzahirkan ketidakpuashati AM Azahari terhadap Malaysia beliau telah melancarkan pemberontakan secara besar-besaran pada 7 Disember 1962. Azahari yang pada ketika itu berada di Manila mengisytiharkan Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) yang diketuai oleh Sultan Brunei. Kesatuan ini melibatkan Sabah, Sarawak dan Brunei namun mendapat tentangan daripada Sultan Brunei. Sultan Brunai telah mengharamkan PRB dan mengisytiharkan darurat. Baginda meminta bantuan daripada British untuk menghapuskan PRB dan pemberontakan yang berlaku tersebut. Pemberontakan tersebut berjaya dihapuskan pada 17 Disember 1962.
5.0 REAKSI FILIPINA
Pada asalnya, Filipina member reaksi positif terhadap penubuhan Malaysia. Namun, dalam penerimaan gagasan tersebut Filipina juga turut menyuarakan rasa tidak puas hati. Filipina membantah kemasukan Borneo Utara ke dalam Gagasan Malaysia. Bagi Filipina, Sabah adalah tanah pajakan yang dibuat antara Sultan Sulu dan Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1878 dan bukannya serahan. Walau bagaimana pun, tuntutan itu tidak diendahkan oleh British dan menganggap ia adalah sebuah pajakan yang kekal.
KESIMPULAN
Penubuhan Gagasan Malaysia yang disuarakan oleh Tunku Abdul Rahman mendapat pelbagai reaksi daripada negara jiran. Reaksi yang paling jelas adalah reaksi negatif daripada negara Indonesia. Reaksi negatif Indonesia ini sebenarnya berpunca daripada satu permasalahan sahaja iaiitu hasrat Presiden Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya. Hasrat beliau itu ternyata hancur berkecai apabila Tunku terlebih dahulu menyuarakan impian beliau yang ingin menubuhkan gagasan Malaysia. Ekoran daripada saingan tersebut, Indonesia mencari jalan untuk menghalang Gagasan Malaysia bagi memberi laluan kepada Indonesia Raya.
Namun, secara keseluruhannya reaksi terhadap penubuhan Malaysia ini tidak dilihat keterlaluan kerana terhad oleh isu tuntutan Irian Barat. Namun, setelah Isu ini selesai pada bulan Ogos 1962 Indonesia telah mengubah sikap kepada lebih agresif dengan kenyataan-kenyataan dan hasutan yang dilihat mencabar pendirian Tunku Abdul Rahman. Kesudahannya, setelah Gagasan Malaysia ditubuhkan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia telah dilaksanakan melalui tiga aspek iaitu sekatan ekonomi, pemutusan hubungan politik dan serangan ketenteraan. Konfrontasi ini berakhir apabila Presiden Sukarno berjaya digulingkan oleh kuasa Soeharto dan perundingan antara Indonesia-Malaysia telah dimeterai pada 11 Ogos 1966. Manakala isu tuntutan Sabah diselesaikan pada tahun 1965 apabila perdamaian dibuat antara Filipina-Malaysia setelah kenaikan Marcos sebagai Presiden menggantikan Macapagal.


[1] Kunaseelan a/l Muniandy, Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970,Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hlm.131.
[2] Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
[3] Nik Anuar Nik Mahmud, Konfrontasi Malaysia Indonesia,Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2000, hlm. 69
[4] Tunku Abdul Rahman, Pandang Balik, Heinemann Education Book, Kuala Lumpur, 1980, hlm. 109
[5] Nik Anuar Nik Mahmud, Konfrontasi Malaysia Indonesia, hlm 76.
[6] Kunaseelan a/l Muniandy, Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hlm 144.
[7] Kunaseelan a/l Muniandy, Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hlm 145.
[8] Mackie, Konfrontasi The Indonesia-Malaysia dispute 1963-1966, Oxford University Press London, Kuala Lumpur, 1974, hlm. 116
[9] Kunaseelan a/l Muniandy, Hubungan Malaysia Indonesia 1957-1970, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hlm 151.

credit http://horlicksejuk.blogspot.com/2009/11/sejarah-konfrontasi-indonesia-malaysia.html

http://horlicksejuk.blogspot.com/2009/11/sejarah-konfrontasi-indonesia-malaysia.html

PASPB: MARI BACA !!! Bagaimana Khoo Kay Kim, seorang prof...

PASPB: MARI BACA !!! Bagaimana Khoo Kay Kim, seorang prof...: Menurut Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, seorang yang juga dikenali sebagai tokoh sejarah terkemuka tanah air Mat Indera buk...

Tuesday, August 9, 2011

AKU INSAN BIASA

 AKU INSAN BIASA

Jika aku lupa ingatkanlah aku
Jika aku jahil ajarlah aku
Jika aku ego tegurlah aku
Jika aku riyak nasihatilah aku
Jika aku sesat tuntunlah aku
Jika aku lena kejutkan aku
Jika aku sombong tegurlah aku
Jika aku terlajak undurkan aku
Jika aku salah maafilah aku
Jika aku sakit doakan kesembuhanku
Aku pasti lupa siapa aku
Aku pasti aku lalai siapa aku
Aku hanya insan biasa yang pasti alpa dan;
Jika aku kembali kepada Allah
Iringilah aku ke tempat kekalku
dan ampunkan segala kesilapan dan kesalahanku
Ya Allah ringankan segala urusanku di dunia dan akhirat ;  dan
Permudahkan perjalananku di titian siratul-mustakim

9 Ramadhan 1432
9 Ogos, 2011.

Wednesday, August 3, 2011

KELMARIN, HARI INI DAN ESOK

Jika kelmarin kita disayangi
Hari ini belum tentu
Jika kelmarin kita dibenci
Hari ini mungkin disayangi
Jika kelmarin kita gembira
Hari ini mungkin pula kita berduka
Jika kelmarin  kita disanjung
Hari ini mungkin pula kita dipasung
Jika hari ini kita difitnah
Esok mungkin pula kita dipuja
Jika hari ini kita berduka
Esok mungkin pula kita gembira
Itulah janji Allah dalam surah al-Insyiraah
Sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan
Sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan



Taman Fulliwa, Tobobon Kota Kinabalu
Subuh 3 Ogos, 2011

Thursday, July 21, 2011

Doa dari Madinah

DOA DARI MADINAH

by Yakub Uton on Sunday, 27 March 2011 at 12:36
DOA DARI MADINAH

Malam 14 September 2007, tika kusholat maghrib dan isyak
Jamak Takhir
Telefon bimbitku berbisik
selesai sholat
lantas kumenggapai melihat mesejnya
aku terkedu, tersedu, dan tanpa kusedari
air mataku berlinangan dan bercucuran
Aku dapat doa dari Masjid Nabawi, Madina al-Munawarah
Mendoakan kesihatanku
Lantas aku sujud syukur
Air mataku bercucuran
Mengalir
Mengalir sukar untuk berhenti kerana rasa syukurku
Kerana aku dapat doa dari Masjid Nabawi Madina al-Munawarah
Yang tidak pernah aku impikan
Yang tidak pernah aku igaukan
Yang tidak pernah aku idamkan
Yang tidak pernah aku pintah
Yang tidak pernah aku pesankan
Doa dikirimkan hamba Allah
Pemimpin besar pendidikan negara, Alimudin namanya
Semoga Allah s.w.t memudahkan urusannya
Hamba Allah yang diberikan keistimewaan
Pendidik yang besar jasanya
Pendidik yang sabar orangnya
Pendidik yang jauh wawasannya
Pendidik yang jauh visi dan misi
Pendidik yang mahu semua orang berjaya
Pendidik yang mahu rakyat bersatu
Mendoakan kesihatan hamba Allah yang kerdil
Yang tiada apa-apa
Tiada harta
Tiada pelajaran
Tiada ilmu
Yang ada hanya semangat yang membara
Mahu bangsanya berjaya
Aku benar insaf
Kerana Allah menduga kesabaranku
17 tahun lamanya
Seperti Dia menduga nabi Ayub a.s.
Syukur kepada Allah kerana adanya
Hamba Allah Alimudin namanya
Yang mendoakan kesihatanku
Yang sentiasa mengabdikan diri kepada-Mu
Maka teringatlah aku sabda Rasulullah s.w.a.
“Tiada penyakit yang tiada ubatnya, kecuali penyakit tua”



YAKUB BIN UTON
14 September, 2007

Interpretation (Defination of Native ) Ordinance (Sabah Cap.64)

Interpretation (Defination of Native ) Ordinance        (Sabah Cap  64)

by Yakub Uton on Sunday, 17 April 2011 at 10:23
A.  SENARAI SUKUKAUM ANAK NEGERI SABAH

Perkara 161A(6)(b) dan Ordinan Tafsiran (Definisi Anak Negeri ) Cap 64. Perenggan A
1. Kadazandusun atau Dusun atau Kadazan termasuklah:
Bangkaakon -   Moyong, Penampang
Bisaya          -   Klias, Beaufort, Kuala Penyu
Bonggi          -  Pulau Banggi,  Pulau Balambangan
Bundu          -   Bundu Tuhan,  Kelawat,  Kiulu. Kedamaian, Tambunan
Dalamason   -   Kiubak, Ensuan
Dumpas        -  Beluran, Lohan, Tidok, Pintasan, Kinabatangan
Gana            -  Papar, Sekitar Keningai
Garo             - Tandek, Kota Marudu
Gobukon      -  Liposu, Liwogo Ranau
Gunatong    -  Langkabong, Malagatan
Kadazan      -  Penampang, Papar
Kapazan      - Liwogu, Kanavaan & subsuku yang lain (Terlalu banyak.)

2. Bajau atau Sama atau Bajau/Sama termasuklah subsuku lain  Banyak lagi.)

3. Murut dan subsuku lain  (Terlalu banyak)

4. Brunei atau Melayu Brunei.

5 Rungus termasuklah subsuku lain.(Terlalu banyak)

6. Bisaya atau Bisayah

7. Idahan atau Idaan termasuk subsuku yang lain.(Terlalu banyak)

8. Iranun ejaan lama Illanun.

9. Kedayan atau Kadayan

10. Orang Sungai atau Sungoi termasuklah subsuku yang lain. (Terlalu banyak)

11. Lundayeh/Lundayuh.

12. Suluk.

13. Tidong.

14. Bulongan.

15. Balabak/Molbog.


B - KAUM-KAUM ASLI DARI SARAWAK YANG TERDAPAT DI SABAH DAN
DIIKTIRAF SEBAGAI BUMIPUTERA DALAM PERLEMBANGAAN MALAYSIA
((PERKARA 161A (7)]-
Senarai dalam lampiran A.


C- RUMPUN BANGSA MELAYU/NUSANTARA YANG BERASAL DARI KEPULAU FILINPINA, INDONESIA, BRUNAI DARUSSALAM DAN SINGAPURA.

i.  Semua  orang yang berketurunan Rumpun Bangsa Melayu/Nusantara berasal dari Kepulauan Filipina, Indonesia, termasuk dari  Kepulauan Cocos-Keling, Negara Brunai Darussalam dan Singapura yang secara sah menjadi warganegara Malaysia dan menetap di Sabah, adalah diiktiraf sebagai BUMIPUTERA,  dan berhak  mendapat layanan sebagai BUMIPUTERA sesuai dengan kehendak-kehendak Perlembagaan Malaysia 161A (6) (b).

ii. Semua warganegara Malaysia dalam kategori B dan C (i) di atas, TIDAK LAYAK  dikategorikan sebagai Anak Negeri Sabah kecuali memenuhi syarat-syarat yang dijelaskan dalam Ordinan Tafsiran (Definisi Anak Negeri) Cap  64 (1952 pindaan 1992)

Tuesday, July 12, 2011

HATI-HATI

Perhatikan bagaimana pentingnya hati dalam badan manusia sehingga ada 33 perkataan yang boleh digandingkan dengan perkataan hati,  dan saya akhiri dengan HATI-HATI untuk menjadikannya 33. Mungkin ada lagi perkataan lain yang boleh disambungkan dengan perkataan HATI.
1. Ada hati
2. Ambil hati
3. Berat hati
4. Busuk hati
5. Buah hati
6. Baik hati
7. Barah hati
8. Cendera hati
9. Idaman hati
10. Jatuh hati
11. Jantung hati
12. Jauh hati
13. Keras hati
14. Lembut hati
15. Makan hati
16. Merah hati
17. Patah hati
18. Panas hati
19. Puas hatii
20. Ringan hati
21. Rela hati
22. Senang hati
23. Susah hati
24. Sedap hati
25. Sakit hati
26. Sampai hati
27. Separuh hati
28. Sepenuh hati
29. Simpan hati
30. Sejuk hati
31. Hati-hati
32. Rasa hati - Abd Jal Palimbang
33. Satu hati  - Jumat Rashid
HATI BERSIH-WAJAH BERSERI
· · Share · Delete